Jumaat, 27 September 2013

Sejarah awal bola jaring di Malaysia

Pada asalnya, bola jaring telah diperkenalkan di Tanah Melayu oleh mubaligh-
mubaligh Kristian dari England kepada murid-murid Sekolah Rendah Inggeris di
negeri-negeri Selat pada zaman pemerintahan British.
Pada lewat 1960-an, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ditubuhkan
dan di bawah kepimpinan Pengerusi Teknik Puan Teh Gin Sooi, bola jaring mula
berkembang dengan meluas. Dari 1970-an hingga lewat 1980-an, bola jaring di
Malaysia telah dimainkan dalam kalangan wanita di sekolah, kolej, universiti serta
jabatan kerajaan dan kelab.
Persatuan Bola Jaring Selangor adalah merupakan persatuan pertama yang
berdaftar dengan Jabatan Pendaftar pada awal 1970-an. Keadaan ini diikuti
oleh beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka,
Johor dan Pahang. Kesemua persatuan-persatuan negeri ini bergabung dengan
Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM).
Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) telah ditubuhkan pada 21 Mac 1978 di
bawah naungan Almarhumah Ke bawah DYMM Tengku Ampuan Pahang. PBJM
mempunyai 17 ahli gabungan yang terdiri daripada 14 ahli gabungan dari negeri-
negeri dan 3 ahli gabungan dari bukan negeri iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan
Tentera Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad.
PBJM telah bergabung dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sejak tahun 1980
dan dengan Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (IFNA) bermula dari tahun
1982. Malaysia merupakan salah satu ahli pengasas Persekutuan Bola Jaring Asia
yang ditubuhkan pada tahun 1985.
Aktiviti utama PBJM adalah untuk menganjurkan kejohanan bola jaring pada
peringkat kebangsaan. Dua kejohanan tahunan yang diadakan pada peringkat
kebangsaan ialah Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan dan Kejohanan Bola Jaring
Bawah 21 Tahun. Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan (KBJK) telah diadakan sejak
tahun 1979. Kejohanan ini terbuka kepada semua ahli gabungan. Kejohanan
Bola Jaring Bawah 21 Tahun bermula pada tahun 1984. Kejohanan pada peringkat
kebangsaan merupakan medan bagi pemilihan pemain ke peringkat antarabangsa. 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan